IP

Sunday, January 30, 2011

Bila yang senang jadi susah

Teringat bilamana saya bertanya seorang teman, "Kul berapa mu sampai tadi?"

Jawabnya, "Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan..."

Keterangannya saya pintas dengan soalan, "Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai. Itu aje"

Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Ia menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.

Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut?

Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.

Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan.

Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.

Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.

Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya.

Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.

Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri, beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang. Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.

Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.

Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.

Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita? Tepuk dada tanya selera.....

Renungkanlah.....

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment