IP

Wednesday, May 18, 2011

Sahabat, Maafkan Daku

Sebuah kisah dan tauladan. Dipetik dari blog....


Saya mempunyai seorang teman, kawan, sahabat yang amat rapat. Kami berkenalan sejak beberapa tahun dahulu. Perkenalan kami tidak dirancang. Hanya dengan sedikit perkongsian kisah suka dan duka, kami menjadi rapat. Saya pernah menangis kerananya. Malah beliau juga pernah menangis kerana saya.

Keakraban kami semakin bertaut rapat, serapat adik beradik kandung. Tidak ada harta yang kami berkira. Kami juga saling sayang menyayangi.

Andai saya tahu hasrat  yang sahabat saya inginkan sesuatu, saya akan menghadiahkan barang kesukaannya itu. Harga dan nilai tidak pernah menjadi pertimbangan saya. Pada saya, kegembiraan sahabat saya adalah kebahagiaan saya. Usahkan permintaan untuk ditunaikan, hasrat dihati beliau pun akan saya selami untuk disempurnakan.

Itulah juga yang sahabat saya lakukan. Pantang didengari yang saya inginkan sesuatu, pasti sahaja dia akan menunaikan hasrat tersebut. Makan minum dan sakit demam saya sentiasa diambil berat.

Andai kami terpisah selang beberapa waktu, pasti rindu akan membelit jiwa dan raga. Jangankan sehari atau seminggu, sejam sahaja sudah tidak mampu melelapkan mata.

Pada saya, kesakitan beliau adalah kesakitan saya. Seperti pepatah, cubit peha kanan, peha kiri turut terasa. Yang sakitnya kepala, yang merungutnya mulut, yang mengusapnya tangan dan yang tidak lenanya adalah mata. Begitulah kami diibaratkan.

Justeru itu, saya tidak rela untuk menyakiti jasad meski hatinya. Andai ada orang lain yang mengutuk sahabat saya, maka tanpa berlengah, saya akan membela. Saya tidak pernah mengumpatnya, apatah lagi mengeji dan mengejeknya. Jauh sekali untuk memfitnah atau menjadi batu api. Apa yang saya lakukan hanyalah yang terbaik, demi seorang sahabat yang amat saya sayangi.

Pada suatu hari, saya terlanjur menyakiti hatinya. Cepat saya menyedari kesilapan itu. Hati saya gusar dan resah ditambah sedih dan pilu. Seharian saya tidak selera untuk makan. Saya mesti meminta maaf darinya.

Setelah berjumpa, saya lantas meminta maaf bersungguh-sungguh. Tangannya saya genggam erat. Namun, anak mata saya malu untuk betentang dengan matanya. Saya malu kerana saya bersalah dan berdosa. Saya berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Pada saya, pasti bukan mudah untuk kesalahan itu dimaafkan. Tapi, sungguh tidak disangka-sangka, beliau memaafkan saya. Betapa mulianya dirimu wahai sahabatku.

Setelah itu, kasih sayang saya padanya menjadi lebih dalam dan semakin mendalam. Saya lebih behati-hati dalam tutur dan tingkah laku. Bahagianya saya mempunyai sahabat sebegitu. Sahabat yang penyayang, pemurah, peramah, penghibur, peneman yang setia, pemaaf, malah segalanya. Dialah sahabat saya untuk saat duka mahupun duka.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment