Tuesday, February 8, 2011

Bila Cinta Sudah Luntur, Kasih Telah Berakhir

Bedtime story
3:10 am

Bercinta sudah lama, hidup bersama sudah berpuluh tahun. Segala baik buruk diri dan pasangan sudah lama terbongkar dan diketahui. Akhir-akhir ini jiwa terasa kosong, tercari-cari sesuatu untuk mengisinya. Wajah itu sudah mula jemu di pandang. Asyik wajah itu juga yang dilihat siang malam, pagi dan petang.

Tanpa sedar anda mula bersikap kritikal terhadapnya, hypersensitive terhadap apa saja yang dilakukannya. Bukan secara positif, tetapi sentiasa terlihat kesalahan dan kekurangannya. Apa saja yang dibuatnya, tetap ada yang tidak kena.

Anda mula mencari alasan dan bahan untuk bertekak. Bukan sengaja, tapi entah kenapa, anda sendiri tidak mengerti terhadap perubahan diri. Bahkan anda tidak sedar pun anda dah berubah. Malah bila bertanya mengapa berubah sikap, dengan tegas menuduh beliau sudah mula kurang prihatin pada anda, sudah tidak memahami anda, dan sudah kurang layanan terhadap anda.

Malangnya, anda tidak pernah ambil kesempatan duduk seketika dan muhasabah diri dan perkahwinan anda. Di mana silapnya? Aku yang berubah atau dia yang berubah? Kalau benar ada perubahan, mengapa ia berlaku?.

Apakah anda begitu? Apakah semua perkahwinan akan berakhir begitu? Seiring dengan berakhirnya rasa kasih dan sayang? Apakah perasaan kasih dan sayang tidak boleh kekal hingga ke liang lahad bahkan hingga ke akhirat kelak? Apakah mesti ia pudar seiring dengan peningkatan usia perkahwinan?

Mengapa ada yang kekalkan kasih sayang terhadap pasangan sekalipun tubuh pasangan sudah hancur dimamah bumi? Mengapa ada pasangan lain yang semakin membongkok semakin kukuh cinta dan kasih sayang mereka?

Perkahwinan menyediakan gelanggang terbaik untuk anda mengenali siapa pasangan anda, zahiriah dan batiniah bahkan mengenali diri anda sendiri. Perkahwinan bukan sekadar satu peristiwa. Perkahwinan adalah satu proses yang berterusan yang memberi kesan menyeluruh kepada individu. Anda memberi ruang dan peluang untuk mendedahkan diri kepada pasangan siapa dan apa karakter sebenar anda.

Namun begitu, faktor ini tidak berdiri dengan sendirinya. Penerimaan dan reaksi sering mencetus kekecohan. Sudah tentu membawa bersama segala perangai ke alam perkahwinan. Anda juga menerima segala apa yang baik dan buruk yang ada pada pasangan.

Malangnya kita sering tidak tahu apa yang kita lakukan sebenarnya. Ramai pasangan yang menerima akad nikah tanpa mengetahui apa yang diterimanya dan apa sebenarnya yang disanggupi untuk diletakkan di atas pundaknya. Yang baik pada anda belum tentu baik pada pasangan anda. Yang dulunya 1+1 belum tentu 2 dalam dunia perkahwinan. Formulanya sudah berubah.

Perkahwinan adalah komitmen. Komitmen adalah tanggungjawab. Perkahwinan sarat dengan tanggungjawab samada pada suami atau isteri. Kedua-duanya sama berat dalam bentuknya yang tersendiri. Komitmen bertambah sebaik kehadiran cahayamata. Namun begitu, sekali lagi, faktor ini tidak bertindak sendiri terhadap pengurangan kasih sayang anda dan pasangan. Reaksi anda memainkan peranan. Bagaimana anda menangani dan mendepani segala komitmen ini.

Ramai pasangan yang mula teralih fokus apabila komitmen semakin bertambah. Para isteri terutamanya, apabila mula mendapat cahayamata, seorang demi seorang, mula terlupa pada si suami yang juga perlukan perhatian. Bahkan lupa pada diri sendiri yang juga memerlukan belaian suami. Juga lupa pada tanggungjawab pada perkahwinan yang perlu digilap selalu. Bukan sengaja tapi terlalai. Malangnya kedua-dua pasangan terus hanyut dalam kelalaian ini hinggalah perasaan-perasaan aneh yang menjarakkan hubungan mula timbul dan mencetuskan konflik dan tekanan yang semakin merenggangkan.

Kadangkala menyelesaikan masalah rumahtangga sama seperti menyembuhkan penyakit barah. Selagimana penyakit belum sampai ke tahap kritikal, peluang untuk sembuh masih tinggi. Masalahnya penyakit barah ini seringkali tidak disedari hingga ke tahap ianya sudah benar-benar parah dan sukar diubati. Melainkan jika seseorang itu benar-benar mengambil berat terhadap kesihatannya dan menjalankan langkah pencegahan awal. Bagitu juga dengan masalah rumahtangga dan hubungan suami isteri.

Penyakitnya menular dalam diam-diam. Hingga tiba masa ia mencetuskan perkelahian dan pertelingkahan, kerosakan di dalam perhubungan hingga ke tahap kritikal. Dalam erti kata lain, pada saat bantuan tiba, perkahwinan tersebut sudah di ambang kematian. Hanya perlu buat persediaan untuk dikafankan dan dikuburkan sahaja.

Persoalannya kini, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengekalkan perkahwinan?. Cara terbaik ialah dengan pendekatan 'cegah sebelum parah'. Dalam ertikata yang lain, anda hendaklah sentiasa berusaha memastikan hubungan anda dan pasangan sentiasa dalam keadaan sihat. Sebarang masalah kecil ataupun besar perlu diberi perhatian dan ditangani dengan segera. Bukan dipandang ringan dan dibiarkan tanpa dirawat.

Namun begitu Allah mengingatkan kita, bahawa dalam pada kita menjalankan tanggungjawab dan berbuat baik terhadap pasangan juga, kita tidak sunyi dari perselisihan faham atau konflik yang datang dari perasaan kita terhadap sikap atau perbuatan pasangan.

Namun panduannya disini, kita dilarang dari membuat pertimbangan dan tindakan yang terburu-buru ekoran dari apa yang kita rasakan tadi. Larangan Allah Taala ini diikuti dengan dorongan agar kita mengimbau dan mengambil kira juga segala kebaikan yang ada disebalik perkara yang menimbulkan kebencian kita tadi. Allah mahu kita merenung, menilai secara adil dan seterusnya mengambil kira segala apa yang telah kita terima dan dilakukan oleh pasangan terhadap pasangan secara total.

Islam menyarankan bagaimana cara menangani perasaan-perasaan yang kurang enak yang timbul antara suami isteri. Sekaligus mengakui bahawa wujudnya pasang surut perasaan dalam perkahwinan. Namun begitu, sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya kita yang mengawal perasaan tersebut dan bukanlah perasaan yang mengawal kita dan seterusnya perkahwinan kita.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget