Monday, December 26, 2011

Jangan diikutkan kata hati...

Kadang-kala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.

Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan adakalanya sangat kecewa. Jadi, bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?

Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadang-kala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang.

Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?

Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran. Itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.

Apa yang Allah tentukan kadang-kala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula. Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadang-kala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya.

Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha. Kita sudah pun berusaha, tetapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?

Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi.

Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan.

Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya.

Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan. Semestinya ada kejayaan dan kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.

Insyallah......


Sent from U Mobile

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget