Setiap manusia
yang diciptakan sama sahaja, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, mempunyai
hati dan perasaan. Adakalanya kita ketawa, sedih dan menangis. Ada yang mudah
tersinggung dan terasa hati. Bezanya adalah cara mengawalnya.
Terasa hati? Dengan
rakan-rakan? Dengan orang tersayang? Dengan keluarga? Adakah melalui teguran
atau sindiran?
Teguran selalunya
berlaku dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Ia akan terjadi di kalangan
orang yang rapat dengan kita. Ada jenis teguran secara nasihat-menasihati dan
ada juga jenis teguran secara sindir-menyindir. Yang baiknya ialah menegur
dengan cara menasihati, dan yang buruknya ialah menegur secara menyindir.
Tetapi, siapakah yang sanggup menegur dengan cara menasihati?
Hanya segelintir
sahaja daripada kita yang sanggup menegur secara menasihati. Selebihnya
lebih suka menegur secara halus iaitu dengan cara sindiran. Adakah
mereka sudah merasakan diri mereka sudah mulia ataupun mereka melakukannya
secara tidak sedar?
Sindiran itu
sangatlah tajam yang boleh meresap menusuk ke dasar qalbu serta mengusik jiwa
kita. Perbuatan sindiran
inilah yang mengakibatkan kepincangan dalam sesuatu perhubungan yang telah lama
terbina dan akibat daripada perbuatan buruk inilah menjadikan kebencian si
penyindir membuak-buak apabila isu sensitif di besar-besarkan.
Sindiran ini juga
memberi kesan negatif terhadap si penerima sindiran. Berkemungkinan si penerima
sindiran pada permulaannya berdiam diri dan memendam perasaannya, tetapi
apabila tiba masanya, dia akan menjadi berdendam kepada si penyindir. Pada masa
inilah si penerima sindiran akan meluahkan dan mengungkit-ungkit apa yang
dipendamnya selama ini.
Pepatah
mengatakan, "Lidah itu tidak bertulang" tetapi disebabkan lidahlah
membuak-buaknya api permusuhan manusia. Hanya disebabkan satu perkataan sahaja,
membuatkan hati yang mendengarnya terluka dan sesuatu ukhuwah yang dijalinkan
menjadi berantakan.
Justeru, marilah
kita sama-sama mengubah diri kita, mengubah gaya hidup, saling
hormat-menghormati hak sesama kita, membudayakan sifat saling
nasihat-menasihati, serta menegur dengan cara yang berhikmah agar orang yang
ditegur dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Tetapi, tegur itu biarlah
kena pada masa dan tempatnya.
Iman Syafie'
berkata, "Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau
menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian
dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau enggan dan tetap melanggar
kata-kataku, maka engkau jangan menyesal jika aku enggan menurutimu."
Biarlah kita
menegurnya bukan di kalangan ramai orang kerana menegur di tempat ramai orang
boleh menjatuhkan air muka seseorang. Kita telah memalukannya di hadapan orang
ramai. Apakah perasaan kita apabila kita berada di tempat mereka?
Renung-renungkanlah.
Buangkanlah sifat
mencari kesalahan dan menyalahkan orang lain. Tutuplah aib mereka jika kita
tidak mahu menampakkan aib kita kepada orang lain. Jika kita berubah untuk
menjadi baik kerana Allah, Allah akan menghantar orang-orang baik untuk bersama
kita.
Jikalau kita
asyik menyindir orang, tidak mustahil juga suatu hari nanti, orang yang kita
sindir itu akan menjadi individu terbaik
dan terhebat daripada kita. Pada masa itulah kita akan merasa sangat-sangat
bersalah dan kesal di atas perbuatan yang kita lakukan terhadap orang yang kita
sindir pada suatu ketika dahulu.
Maafkanlah dengan
menerima segala kekurangan yang ada pada mereka. Ingatlah kebaikan orang lain
terhadap kita, dan janganlah mengungkit-ungkit kebaikan kita terhadap orang lain.
Maafkanlah dan lupakan setiap kesalahan yang orang lakukan terhadap kita.
Dengan melupakan kejahatan orang terhadap kita, maka timbullah perasaan kasih
sayang yang terpancar dalam diri dan akan menarik perhatian orang untuk
menyayangi kita.