Hakikat kehidupan; kesibukan sentiasa ada, ketenangan dan keluh kesah silih berganti, suka dan duka menghiasi setiap simpang dan liku-liku hidup. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari semua ini. Sedar ataupun tidak kita kadang-kadang tewas dengan ujian yang kecil sedangkan kita pernah gagah berdepan dengan ujian yang lebih berat sebelumnya. Kita pernah kecewa dengan bebanan yang ringan sedangkan kita begitu tabah berdepan dengan bebanan yang berkali ganda lebih hebat diwaktu silam. Kita sebenarnya lemah apabila jiwa kita kecil dan kita kuat ketika jiwa kita besar. Inilah hakikat kehidupan kita; yang hidup dan mati itu adalah jiwa kita, yang kuat atau lemah itu adalah jiwa kita.
Manusia sering memenuhi keperluan fizikal tetapi jiwa sering dilupakan. Jiwa kita sebenarnya memerlukan makanan dan pengisian lebih tinggi berbanding keperluan jasad kita. Bagi yang berjiwa besar, mereka kan sanggup berdepan dengan apa saja cabaran tetapi bagi yang berjiwa kecil kadang terkurung dalam dunia yang sempit dan penuh kekecewaan. Ada yang masih terselamat ketika berdepan dengan musibah yang besar tetapi ada juga yang mengorbankan dirinya bagi sesuatu yang remeh dan murahan.
Untuk menjadi matang, luaskanlah pergaulan dengan manusia. Di situ kita akan melihat kepelbagaian pendapat, fikiran, budaya, tatacara hidup, adat, bahasa dan sebagainya. Kematangan tidak datang dengan hanya duduk di dalam bilik atau hanya berteori dengan akal sendiri, atau hanya pandai bercakap sahaja tanpa turun ke lapangan umat dan merasai sendiri erti kehidupan.
Orang yang matang banyak benar fikirnya, sebab sudah merasai jatuh dan bangunnya dalam hidup. Ia sudah merasai manisnya gula dan masinnya garam di dalam buku kehidupan. Sudah terfikir apa yang boleh dan tidak boleh di dalam pergaulan. Adakah baik dan buruk kesannya. Sebab itu katanya banyak berkias. Jika menegur ia menyindir. Jika terlalu marah ia menjadi diam dari biasa.
Orang yang matang tidak berfikir untuk diri sendiri sahaja. Tetapi dilihat apa natijahnya kepada orang lain. Untung dan rugi dikirakan, besar atau sedikit mudaratnya, disesuaikan pula dengan suasana, keadaan dan zaman.
Ada juga yang suka berfikiran singkat, keputusan hendak segera tanpa ditimbang buruk dan baiknya. Tidak pula membuat kaji selidik, bertanyakan dengan orang yang lebih tahu, tidak mahu bermesyuarat agar setiap tindakan dapat diteliti dengan lebih mendalam. Katanya zaman dahulu biarkan berlalu, sekarang adalah zaman kita, pendekatan perlu berubah mengikut masa. Bahkan lebih dari itu terus dihapuskan sahaja tatacara dan budaya walaupun ia adalah baik untuk masa hadapan.
Sebab itu Allah uji manusia dengan nikmat yang diberi. Dan Allah memandang dan meningkatkan darjat manusia melalui IMAN dan TAKWA yang mereka miliki. Kerana? Kerana untuk beriman bukan hanya meyakini akan kewujudan ALLAH, tetapi juga melalui kepercayaan dan keyakinan itu, akan terjelmalah akhlak dan ibadah sebagai BUKTI iman manusia.
Dan sangat mudah untuk hambaNya melupakan sang pencipta disebabkan kelebihan yang diberi. Merasa diri sudah terlau bijak sehinggakan menidakkan kebesaran Illahi
(Source : blogs, readings, editing)
pengalaman ini mendewasakan kita..=)
ReplyDelete