Bedtime story
Arsenal vs Blackburn
Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia.
Sesungguhnya bahagia itu bukan akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang akan bertambah terangnya.
Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa, pasangan kita yang patut merasa kebahagiaan itu. Jika yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Jika menderita, itu petanda yang kita menderita.
Hargailah kehadirannya. Rasakan bahawa dia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Dia adalah anugerah buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia.
Itulah insan yang sewajarnya diberi perhatian. Tetapi apakah kita menghargainya?
Cuba renungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding dengan keretanya. Batuk isteri semacam tidak didengari tetapi "Batuk" kereta cepat-cepat dihantar berubat. Itu belum lagi yang membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah.
Atau isteri yang leka dengan kehidupannya sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.
Ada yang bertanya bagaimana hendak menghargai pasangan. Jawapan saya, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Jalan akan tersedia kepada orang yang berkehendakan.
Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Lihatlah dengan mata hati.
Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi tetapi suatu yang murni dan hakiki; kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan bersama kita!
Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb, cinta itu tindakan. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.
Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya.Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Menonton tv bersama belum tentu lagi bercakap.
Malah, bila berjauhan pun belum tentu bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan pasangan. Akan tetapi bila pasangan tiada lagi, ketika itu nasi sudah menjadi bubur.
Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi. Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula itu sama dengan yang pernah bertahta dihati.
Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi ada yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'.
Ingatlah, kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment