Aku seperti mampu rasakan dengan perubahan iklim kehidupan yang sedang mengalami proses kemarau ini.
Gelojak jiwa yang kecewa, sedih dan derita terpancar melalui riak wajah yang sememang tidak mampu untuk disembunyikan akibat bahang masalah dan beban yang tidak mampu ditahan.
Terasa rindu pula dengan kesenangan dan keselesaan yang dahulu sering melayani diri tika bunga hatinya mekar.
Sememangnya lumrah dunia ini begitu. Segalanya berputar dan berpusing ibarat roda. Musimnya sentiasa silih berganti. Angin pun bukan sentiasa bertiup ke Utara, adakalanya akan bertukar arah ke Selatan, Barat mahupun Timur.
Apatah lagi manusia yang mempunyai pendinding yang rapuh, pancaroba dunia ini lebih bijak memanipulasi perasaan kita berbanding kita sendiri yang diberi akal ini.
Manakan hendak dinikmati kesenangan kalau tiada ujian dan cabaran. Kebahagiaan itu menjadi fitrah manusia untuk sentiasa dan cuba mendapatkannya, tetapi harga yang perlu dibayar adalah mahal.
Kita sering mengeluh dan mengomel. Bosan mendepani masalah hidup yang tiada pengakhiran. Jemu dengan usaha yang awalnya bertunjangkan segunung harapan namun berputus asa dengan kegigihan yang tiada keberhasilan.
Akhirnya kita duduk termanggu di pinggiran merenung hari-hari mendatang yang akan dijalani dengan kemurungan.
Jelaslah hati kita masih belum cukup sempurna mengenal kehidupan yang diciptakan.
Kadang-kala kita yang tidak adil kerana salah meletakkan perasaan atas sesuatu perkara. Itu juga membuatkan kita rasa lemah kerana hakikatnya kita yang tidak faham keadaan diri kita sendiri.
Di manakah kita letakkan perasaan gembira?
Di manakah kita letakkan perasaan sedih?
Di manakah kita letakkan perasaan sayang?
Suatu renungan......
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
Cinta adalah keabadian dan kenangan adalah hal terindah yang pernah dialami. Siapa pun pandai menghayati cinta tapi tiada siapa yg pandai menilai cinta kerana cinta bukan objek yg boleh di lihat oleh mata kasar. Sebaliknya cinta hanya dapat ditilik melalui hati dan perasaan.
No comments:
Post a Comment