IP

Monday, April 23, 2012

Pelajaran dari kekhilafan diri


Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan?. Mereka akan menjawab, "semasa kami masih muda" kerana banyak perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Kebanyakan dari kita tidak menyedari hakikat ini sehinggalah meningkat usia. Umumnya, kita lambat belajar di 'universiti kehidupan' ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat awal tetapi hanya difahami apabila usia kita meningkat.
Alam adalah sebuah 'universiti'. Setiap manusia adalah para pelajarnya dan berterusan belajar. Hidup adalah siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin inilah maksud "tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Jika difahami, pelajaran ini memberi panduan dan suluh kehidupan tetapi sekiranya gagal, maka hidup akan huru-hara dan akan menempuhi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan. Justeru, di peringkat awal, asasnya perlu difahami sebelum menghadapi usia dewasa yang lebih mencabar. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada awal usia terpaksa dibawa ke peringkat tua atau ’repeat’ seperti pelajar universiti yang gagal dalam peperiksaan semester.
Ada ketika kita sendiri melalui proses transisi. Proses dimana jiwa, akal, nafsu, emosi dan elemen dalaman sedang bergolak mencari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi. Di saat ini kita akan menemui pelbagai situasi seperti suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada pelajaran yang dibawanya untuk difahami dan dihayati kerana jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Bezanya ialah ada diantara kita yang cepat belajar dan ada yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan 'naik kelas', yang tidak, terpaksa belajar yang sama berkali-kali. Kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku ada unsur pengajaran dan didikan. Setiap peristiwa, pahit atau manis, baik atau buruk adalah guru yang mengajar kita. Semua yang berlaku ada tujuan yang tertentu. Apa yang berlaku adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah.
Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Apakah tujuan pelajaran yang datang  dan pergi dalam hidup kita?
Ianya adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih baik. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan. Perubahan sentiasa berlaku. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berubah tetapi mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
.... end of part I

No comments:

Post a Comment