IP

Saturday, March 26, 2011

Demi Cinta Kita

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Kita hanya manusia yang turut berdosa. Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia.

Kerana cinta kita perlu memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kita wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati. Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.

Pada ketika itu terujilah cinta kita. Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri. Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.

Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.

Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk pasangan mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan.

Kemarahan seumpama 'bom jangka' yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci tapi rindu".

Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup... berilah kemaafan.

Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah "api" dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan pasangan kita.


... akan bersambung jikalau ada idea...

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment