Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah. Atau mengaku super hingga merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.
Antara soalan yang selalu berlegar ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini. Ada ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.
Ada ketika bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana?
Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri bukan mengubah keadaan luaran.
Kita perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.
Islam kata Sunatullah. Barat kata 'law of nature'. Hukum ini juga dikenali sebagai 'cause and effect'.
Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih begitu juga sebaliknya.
Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu dan mengakui akan ujudnya penyebab itu.
1. Kita kena merendah diri kerana ego akan mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.
Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.
Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.
2. Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.
Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku.
Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.
3. Dalam mencari penyebab atau punca masalah, kita jangan hanya bertumpu kepada yang besar. Sebaliknya carilah penyebab yang kecil-kecil. Kita seumpama seorang yang sedang berjalan.
Penyebab kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur. Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.
Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.
Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.
Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.
Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa.
Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment