IP

Monday, January 31, 2011

HATI SEORANG ISTERI

Ada satu artikel sy baca berkisar tentang luahan seorang isteri terhadap perangai suaminya. Pada saya artikel ni boleh juga digunapakai oleh suami untuk menjadi lebih pro-aktif terhadap isterinya.

Ianya berbunyi begini....

"Saya suka membaca perkongsian ini. Saya sedang menghadapi kemelut rumahtangga. Sudah sekian lama berkahwin (hampir 5 tahun), suami tidak pernah memujuk, berbual, berkomunikasi (hanya bila mahukan hubungan intim) malah tidak pernah memberitahu apa yang disukai atau apa yang tidak disukai."

Saya bagai hidup dengan 'stranger' setiap hari saya menangis mengenangkan hal ini. Saya tidak mahu 'selfish', anak saya sudah 3 orang walau saya masih muda (belum menjangkau 30 tahun). Saya sayangkan rumahtangga ini dan anak-anak, cuma sedih kerana rasa langsung tidak dihargai kecuali bila suami mahukan hubungan intim. Saya bukan wanita berkerja, saya korbankan karier untuk mencurahkan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Dunia saya hanya suami dan anak-anak. Bila jadi begini, saya rasa amat tertekan dan rasa 'useless'. Apa yg patut saya buat/fikirkan?

Banyak kali saya berbincang dengan suami namun jawapan yang diberikan hanya 1 :

"Maaf abang tak tahu nak cakap apa."

Saya sangat kecewa. Saya tak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya.

Saya pernah suarakan, jika suami mempunyai kekasih hati/pilihan lain saya izinkan dia berkahwin. Mungkin suami akan berubah kepada yang lebih baik dengan cara ini tapi tiada jawapan dari suami dan hubungan kami berterusan hambar beku seperti ini.

Harap ustazah sudi memberikan pandangan.

WANITA DAN KATA-KATA CINTA

Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Sebagai seorang wanita, saya maklum, belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui kata-kata seperti ucapan sayang, bicara yang lembut, mahupun sekadar lafaz terima kasih, banyak memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Isteri mana yang tidak bahagia dengan kata-kata yang menggambarkan penghargaan dari suami tercinta. Sesaat lafaz sayang diperdengarkan, sudah cukup meredakan keletihan isteri berbakti untuk anak-anak dan suami. Sepatah ucapan terima kasih diberikan, sudah cukup menjadi penawar yang meredakan resah isteri berdepan rutin yang sama di kebanyakan hari.

Hanya semudah itu, seorang suami dapat mengungguli emosi isteri yang dikasihi. Ia tidak banyak memakan masa, menagih kudrat dan tenaga dan tidak juga menelan belanja yang tidak terjangka nilainya.

Cukup hanya sekadar kata-kata mesra.

"ALLAH SWT tidak memberikan semua yang kita inginkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan."

Saya akur, bukan semua wanita, bertuah dapat menikahi jejaka yang 'cukup' serba serbi. Seorang yang soleh dan bertaqwa, pandai pula berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri di bawah seliaannya.

Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini!

Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan :

"...antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?"

IF MAN COULD TALK

Demikian satu judul buku yang dikarang oleh Dr Alon Gratch, seorang pakar psikologi klinikal dan juga seorang pensyarah di dalam bidangnya. Beliau banyak menulis untuk pelbagai penerbitan termasuk New York Times dan Wall Street Journal.

Manurut Dr Gratch, lelaki bukan tidak boleh berbicara, hanya saja mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan, yang umumnya terbuka dengan perasaan mereka, kebanyakan lelaki merasa sangat sulit untuk 'membuka' diri untuk orang lain. Oleh sebab itu, pada dasarnya, kaum lelaki sering terlihat jauh dan terasing serta sukar difahami, atau dalam banyak keadaan, agak keras dan menjengkelkan.

Oleh kerana itu juga, lelaki lebih mudah mewakilkan luahan kasihnya melalui sejambak bunga, atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad dan tidak terlalu luas.

Justeru, saya berpandangan bahawa seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata (verbal), akan tetapi lebih penting dari itu ia harus dibuktikan melalui perbuatan dan tingkahlaku (non-verbal).

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya.

Walau tanpa bicara, ia cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.

Justeru itu, pandanglah keadaan 'tanpa suaranya' ini sebagai satu kelebihan, kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini adalah seorang suami yang punya keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Tanpa bicara, tidak melalui kata-kata.

PRO-AKTIF

Saya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap pro-aktif dalam persoalan rumahtangga dan kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris :

'What you give, you get back'.

Dengan senyuman yang manja, sentuhan yang lembut diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua.

Komen saya untuk renungan bersama :

"Dalam mempersoalkan tentang hak, adalah lebih baik kita (isteri) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah, sedang dan akan berikan buat yang berhak (suami).

Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri dari menumpukan kepada apa yang kita patut dapat dari seorang suami.

Bimbangnya diri ini, andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini."

Realitinya, dalam Islam tidak berkisar sekadar luahan cinta dan kata-kata yang indah membelai jiwa semata. Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan taqwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredhaan ALLAH, matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil apa pun usaha yang dilakukan demi menjamin ikatan yang ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment