IP

Wednesday, May 23, 2012

adakah kita menegur atau menyindir?


Setiap manusia yang diciptakan sama sahaja, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, mempunyai hati dan perasaan. Adakalanya kita ketawa, sedih dan menangis. Ada yang mudah tersinggung dan terasa hati. Bezanya adalah cara mengawalnya.

Terasa hati? Dengan rakan-rakan? Dengan orang tersayang? Dengan keluarga? Adakah melalui teguran atau sindiran?

Teguran selalunya berlaku dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Ia akan terjadi di kalangan orang yang rapat dengan kita. Ada jenis teguran secara nasihat-menasihati dan ada juga jenis teguran secara sindir-menyindir. Yang baiknya ialah menegur dengan cara menasihati, dan yang buruknya ialah menegur secara menyindir. Tetapi, siapakah yang sanggup menegur dengan cara menasihati?

Hanya segelintir sahaja daripada kita yang sanggup menegur secara menasihati. Selebihnya  lebih suka menegur secara halus iaitu dengan cara sindiran. Adakah mereka sudah merasakan diri mereka sudah mulia ataupun mereka melakukannya secara tidak sedar?

Sindiran itu sangatlah tajam yang boleh meresap menusuk ke dasar qalbu serta mengusik jiwa kita. Perbuatan sindiran inilah yang mengakibatkan kepincangan dalam sesuatu perhubungan yang telah lama terbina dan akibat daripada perbuatan buruk inilah menjadikan kebencian si penyindir membuak-buak apabila isu sensitif di besar-besarkan.

Sindiran ini juga memberi kesan negatif terhadap si penerima sindiran. Berkemungkinan si penerima sindiran pada permulaannya berdiam diri dan memendam perasaannya, tetapi apabila tiba masanya, dia akan menjadi berdendam kepada si penyindir. Pada masa inilah si penerima sindiran akan meluahkan dan mengungkit-ungkit apa yang dipendamnya selama ini.

Pepatah mengatakan, "Lidah itu tidak bertulang" tetapi disebabkan lidahlah membuak-buaknya api permusuhan manusia. Hanya disebabkan satu perkataan sahaja, membuatkan hati yang mendengarnya terluka dan sesuatu ukhuwah yang dijalinkan menjadi berantakan.

Justeru, marilah kita sama-sama mengubah diri kita, mengubah gaya hidup, saling hormat-menghormati hak sesama kita, membudayakan sifat saling nasihat-menasihati, serta menegur dengan cara yang berhikmah agar orang yang ditegur dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Tetapi, tegur itu biarlah kena pada masa dan tempatnya.

Iman Syafie' berkata, "Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku, maka engkau jangan menyesal jika aku enggan menurutimu."


Biarlah kita menegurnya bukan di kalangan ramai orang kerana menegur di tempat ramai orang boleh menjatuhkan air muka seseorang. Kita telah memalukannya di hadapan orang ramai. Apakah perasaan kita apabila kita berada di tempat mereka? Renung-renungkanlah.

Buangkanlah sifat mencari kesalahan dan menyalahkan orang lain. Tutuplah aib mereka jika kita tidak mahu menampakkan aib kita kepada orang lain. Jika kita berubah untuk menjadi baik kerana Allah, Allah akan menghantar orang-orang baik untuk bersama kita.

Jikalau kita asyik menyindir orang, tidak mustahil juga suatu hari nanti, orang yang kita sindir itu  akan menjadi individu terbaik dan terhebat daripada kita. Pada masa itulah kita akan merasa sangat-sangat bersalah dan kesal di atas perbuatan yang kita lakukan terhadap orang yang kita sindir pada suatu ketika dahulu.

Maafkanlah dengan menerima segala kekurangan yang ada pada mereka. Ingatlah kebaikan orang lain terhadap kita, dan janganlah mengungkit-ungkit kebaikan kita terhadap orang lain. Maafkanlah dan lupakan setiap kesalahan yang orang lakukan terhadap kita. Dengan melupakan kejahatan orang terhadap kita, maka timbullah perasaan kasih sayang yang terpancar dalam diri dan akan menarik perhatian orang untuk menyayangi kita.

No comments:

Post a Comment