IP

Thursday, April 29, 2010

Musim cinta sudah berlalu


Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi, semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.

Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.

Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati. Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

No comments:

Post a Comment